Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md Yusoff, berkata pembangunan projek berkenaan tiada kaitan dengan sebarang dana daripada agensi kerajaan sebaliknya kerajaan akan membangunkan usahawan bagi membolehkan kelompok berkenaan menjadi penyumbang kepada projek berkenaan.

Katanya, projek berkenaan mendapat kritikan daripada ramai pihak dan dituduh bakal membabitkan dana awam.

“Ia salah. Saya ingan menjelaskan kepada pengkritik projek berkenaan bahawa apa yang kerajaan akan lakukan adalah kita cuba untuk membantu pertumbuhan usahawan yang terbabit terutamanya dalam sektor automotif.

“Sebagai contoh, jika membicarakan mengenai pembuatan kereta, terdapat lebih 4,000 komponen di dalamnya. Ini bermaksud kita memerlukan 4,000 vendor dan kita juga sudah mempunyai set kemahiran dalam bidang berkenaan di negara ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan acara beautyexpo 2018 anjuran UBM Asia di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis berkenaan adalah Naib Presiden Kanan UBM Asia, M.Gandhi.

Mengulas lanjut, Mohd Redzuan berkata beliau amat yakin projek kereta nasional baharu itu boleh dipasarkan dalam tempoh kurang dua tahun lagi.

“Ia berikutan adanya kehendak politik (political will) dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed berkata kita perlu menjadi bangsa industri dan bagi memenuhi hasrat berkenaan, kita perlu membabitkan diri dalam sektor ini,” katanya.

Sementara itu, Gandhi berkata beautyexpo 2018 adalah pameran kecantikan anjuran UBM Asia yang disertai oleh lebih 380 jenama antarabangsa dan tempatan.

“Kami menjangka kunjungan lebih 17,500 pelawat sepanjang empat hari pameran ini berlangsung dan selain boleh melihat produk dan inovasi baharu dalam bidang kecantikan, mereka juga boleh menggunakan kesempatan ini untuk meluaskan rangkaian mereka.

“Antara pempamer yang terbabit untuk tahun ini termasuklah dari Belgium, Jepun, Korea Selatan dan Thailand,” katanya.

INFO

* Menurut Euromonitor, pasaran produk kosmetik dan penjagaan diri di negara Asia Tenggara akan terus berkembang pada kadar empat peratus dan dijangka mencecah AS$19 bilion menjelang 2019.

ends

Source: Berita Harian