AYER KEROH: Kerajaan Negeri Melaka menawarkan kawasan untuk dibangunkan sebagai hab bagi projek pembinaan kereta nasional ketiga.

Exco Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, Melaka mempunyai banyak lokasi perindustrian yang sesuai dijadikan tapak pembangunan projek tersebut.

“Kerajaan Negeri sedang mengenal pasti kawasan perindustrian yang baharu untuk menampung kapasiti yang semakin berkurang dalam kalangan industri di negeri Melaka ini.

“Kita ada kawasan industri sedia ada yang sesuai untuk dipertimbangkan sebagai destinasi atau lokasi bagi projek kereta nasional yang ketiga nanti,” katanya.

Mohad Rafiq ditemui selepas istiadat penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Melaka sempena sambutan hari jadi Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob di sini, hari ini.

Beliau antara individu dianugerahkan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk.

Penerima lain turut menerima gelaran, iaitu gelaran Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM).

Mereka ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa.

Dalam pada itu, mengulas berkenaan lawatannya ke Jepun yang bermula esok, Mohd Rafiq berkata ia adalah misi pelaburan bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk menarik lebih banyak pelabur Jepun ke Melaka.

Menerusi lawatan itu, katanya, Melaka dijangka meneroka peluang baharu terutama dalam bidang elektronik dan automotif.

Source: Astro Awani