KUALA LUMPUR: Projek kereta nasional ketiga menyediakan peluang bagi syarikat berpangkalan di Malaysia berada di barisan hadapan evolusi industri automotif global, demikian menurut pemerhati industri.

Naib Presiden Kanan dan Pengarah Urusan Frost & Sullivan Malaysia, Hazmi Yusof, berkata kereta pesat berkembang di pasaran maju dan menjadi sebahagian daripada platform mobiliti dengan teknologi bateri, sensor dan komunikasi memecahkan sempadan.

Manakala, generasi muda mempunyai sikap yang berbeza ke arah mobiliti, pemilikan kereta dan jenama.

“Faktor-faktor ini dan lain-lain mengganggu rantaian nilai tradisional sektor automotif.

“Oleh itu, projek kereta nasional baharu menyediakan peluang bagi syarikat berpangkalan di Malaysia untuk mengambil bahagian dan meletakkan diri mereka di barisan hadapan perubahan ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata automotif global adalah industri yang berkembang pesat dalam tempoh lima tahun yang lepas, disokong oleh penggunaan teknologi serta model perniagaan baharu dan menganggu status quo.

“Gangguan ini mewujudkan peluang untuk peserta baharu seperti Tesla (di Amerika Syarikat) dan BYD (di China) untuk berjaya memantapkan syarikat masing-masing.

“Jika kita dapat mengenal pasti dan memanfaatkan perubahan ini, ia akan meningkatkan industri automotif Malaysia,” katanya.

Hazmi berkata berdasarkan tempoh masa dua tahun yang ditetapkan kerajaan untuk melancarkan kereta itu, negara perlu mencari rakan kongsi yang tepat dan mewujudkan ekosistem yang tepat untuk mencapai sasaran itu.

Beliau berkata, projek itu juga dijangka menjadi pengaruh positif bagi penggiat industri sedia ada yang lain untuk mengguna pakai teknologi Industri 4.0.

Penganalisis automotif dan Motorme.my, Yamin Vong berkata industri automotif dunia sedang mengalami perubahan pesat yang boleh menyebabkan penyelesaian kereta konvensional sebagai usang, berdiri sendiri dan sukar untuk terus hidup.

Beliau berkata, perubahan ini dapat dilihat berdasarkan perkara yang tidak pernah berlaku sebelum ini seperti pesaing Mercedes-Benz dan BMW yang bekerja bersama-sama untuk menggabungkan perkongsian kereta, ride-hailing dan titik pengecasan elektrik.

“Sama ada kereta nasional pertama, kedua atau ketiga, sektor swasta harus dibiar untuk mengambil risiko, dan orang yang paling sesuailah yang akan mampu bertahan.

“Kerajaan seharusnya memberikan insentif dan infrastruktur menyeluruh kepada industri automotif daripada memilih juara,” katanya.

Beliau juga yakin bahawa kenderaan elektrik mungkin menjadi kereta nasional ketika jika ia mendapat sokongan kerajaan.

“Tidak mustahil syarikat kaya teknologi memulakan perniagaan kenderaan elektrik di Malaysia,” katanya.

Ditanya mengenai peluang eksport untuk kereta nasional ketiga, Vong berkata secara realistik, kereta itu perlu bersaing di pasaran domestik untuk mendapatkan keberhasilan yang lebih baik dalam pasaran eksport.

Bagaimanapun, katanya jika projek itu dapat meningkatkan industri automotif di Malaysia untuk berkembang melepasi penggantian import semasa dan mula mengeksport dalam jumlah yang besar, ia akan meningkatkan keupayaan vendor tempatan untuk menjadi kelas dunia.

Seorang lagi penganalisis yang enggan namanya disiarkan, berkata kereta nasional ketiga dijangka membawa teknologi baharu yang dapat memberi manfaat kepada tenaga kerja industri.

“Apabila teknologi baharu masuk, kemahiran mengendalikannya akan meningkat, dan memandangkan keperluan automasi tinggi, pekerjaan yang akan diwujudkan hanya untuk pekerja yang sangat mahir,” katanya.

Beliau berkata, walaupun projek itu akan memacu fasa baharu peningkat teknologi, ia dijangka tidak merangsang peningkatan jumlah industri.

“Memandangkan pasaran yang kini tepu, kebanyakan pembuat kereta sedang mencari pasaran eksport seperti yang dilakukan menerusi perkongsian Proton-Geely bagi menjadikan Malaysia sebagai hab serantau yang kenderaan pandu sebelah kanan.

“(Oleh itu,) fasa baharu, dari segi kemajuan teknologi, sangat baik, namun bukan berpacukan jumlah,” katanya.